Skip to main content

Pusat Geospatial Negara (PGN)

Pusat Geospatial Negara / National Geospatial Centre (PGN) telah dilulus penubuhannya bagi menggantikan Sistem Infrastruktur Kebangsaan bagi Maklumat Tanah / National Infrastructure for Land Information System (NaLIS). Bagi menentukan keberkesanan pembangunan dan pelaksanaan Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) di semua peringkat, PGN telah ditubuhkan pada 1 Disember 2002 dan dipertanggungjawabkan dalam mengurus pembangunan MyGDI sebagai Infrastuktur Data Geospatial Kebangsaan (NSDI) serta menyelaras perkongsian maklumat geospatial di kalangan agensi-agensi kerajaan, swasta dan awam.

Visi

Peneraju perkongsian perkhidmatan dan maklumat geospatial secara mampan untuk kesejahteraan negara. 

 

Misi

Memperkasakan perkongsian perkhidmatan dan maklumat geospatial dengan penggunaan sumber yang cekap dan optimum berteraskan dasar dan undang-undang.

Sejarah Pusat Geospatial Negara 

Pada 23 September 1987, Jemaah Menteri melalui Kertas Bil. 500/1597/87 telah memutuskan untuk membangunkan satu Sistem Maklumat Tanah. Pada tahun 1994/1995, pihak Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (KTPK) telah mengambil inisiatif awal dengan menubuhkan Sekretariat National Infrastructure for Land Information System (NaLIS) bagi membangunkan Sistem Infrastruktur Kebangsaan bagi Sistem Maklumat Tanah atau NaLIS.

Pada 2 Januari 1997, Sekretariat NaLIS berjaya ditubuhkan di bawah Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bilangan 1/1997 (PKPA 1/1997) dan dilancarkan secara rasminya oleh YBhg. Ketua Setiausaha Negara pada 22 September 1997. Pekeliling ini dikeluarkan adalah bertujuan menggariskan objektif penubuhan, prinsip-prinsip, tanggungjawab dan peranan pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi pengurusan NaLIS di peringkat persekutuan dan peringkat negeri. Aktiviti pembangunan infrastruktur data geospatial amat besar meliputi perkara-perkara polisi, standard, teknologi, peraturan, perundangan, keselamatan serta pembiayaan termasuk penyediaan data di agensi-agensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Pada 27 September 2002, Pusat Geospatial Negara atau National Geospatial Centre (PGN) telah ditubuhkan bagi menggantikan Sekretariat NaLIS melalui waran perjawatan Bil. E59 2003 yang diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia di bawah Cadangan Penstrukturan Semula Agensi di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Mengkaji Struktur Organisasi di bawah Sistem Saraan Baru Malaysia Bil. 13/2002.

Mulai 1 Disember 2003, PGN telah diwujudkan sebagai sebuah agensi bertaraf Bahagian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (KTPK). Pada 27 Mac 2004, PGN telah bernaung di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang telah menggantikan KTPK. Pada tahun 2018, sekali lagi NRE dijenamakan semula kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

Berdasarkan perkembangan semasa, PGN yang mendukung Program MyGDI telah mengambil kira cabaran dan perubahan semasa dan sentiasa berusaha dan komited dalam memberi khidmat kepakaran, perundingan serta penyelarasan dalam bidang perkongsian data geospatial kepada agensi-agensi berkepentingan di seluruh Malaysia.

Fungsi Pusat Geospatial Negara

  • Menjadi agensi utama menyelaraskan pembangunan standard geospatial melalui perundingan antara Kerajaan Persekutuan, Negeri, akademia dan swasta; 
  • Menjadi one stop centre perkongsian maklumat geospatial, melalui penyelarasan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Negeri, akademia dan swasta;  
  • Membangunkan platform perkhidmatan web, bagi perkongsian maklumat geospatial untuk penggunaannya oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri, akademia dan swasta; 
  • Merancang dan melaksana program pembangunan sumber manusia dalam bidang Sistem Maklumat Geografi (GIS); 
  • Mengurus dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mempromosi Program MyGDI ke seluruh negara dan menggalakkan penggunaannya;
  • Mewakili kepentingan agensi-agensi kerajaan dalam forum dan mesyuarat berkaitan maklumat geospatial di peringkat antarabangsa; dan 
  • Menjadi pusat rujukan teknikal bagi khidmat nasihat dan pakar runding berkaitan pembangunan aplikasi, penggunaan maklumat geospatial serta penyelidikan dan pembangunan.

Objektif

Menyediakan perkongsian perkhidmatan dan maklumat Geospatial yang efisien melalui: 

  • Mekanisme tindakan bersepadu merangkumi tadbir urus, penggubalan dasar, perundangan dan pengukuhan kolaboratif strategik melibatkan pihak berkepentingan di semua peringkat bagi menyokong Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI);
  • Penyelarasan bagi mengelakkan pertindihan maklumat geospatial melalui kolaboratif strategik agensi tunjak dan custodian bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara;
  • Pelaburan berkaitan geospatial dengan penghasilan produk dan perkhidmatan bagi penjanaan ekonomi yang mampan; dan 
  • Pemerkasaan kepakaran, teknologi dan perkhidmatan perundingan dalam Research, Development, Innovation and Commercialisation (RDIC) bidang geospatial. 

PIAGAM PELANGGAN

 

 

 

Menyediakan polisi atau garis panduan perkongsian data geospatial untuk digunakan sebagai rujukan agensi pembekal data, pengguna dan pengamal GIS;

 

Memastikan perkhidmatan data geospatial yang berkualiti boleh dipercayai (reliable), memenuhi kehendak pelanggan serta dikemas kini setiap tahun mengikut Garis Panduan Semakan Kualiti Data;

 

Menjalin kerjasama dengan Technical Committee 2 (TC2) SIRIM untuk menyediakan dokumen standard data geospatial bagi perkongsian data dalam tempoh satu tahun apabila wujud keperluan;

 

Menyediakan perkhidmatan capaian aplikasi dan carian maklumat geospatial setiap 24 jam x 7 hari dengan system uptime tidak kurang dari 99%;

 

Menganjurkan program outreach untuk mempromosi teknologi geoinformasi terkini kepada kumpulan sasaran sekurang-kurangnya 3 kali setahun;

 

Menganjurkan program pembangunan modal insan berkaitan geoinformasi sekurang-kurangnya 1 kali sebulan; dan

 

Mengambil tindakan segera terhadap sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan dan produk dalam tempoh 3 hari.

 

CARTA ORGANISASI